Pilihan raya merupakan sesuatu prosedur yang dijalankan bagi memenuhi ciri-ciri demokrasi yang diamalkan di Malaysia. berikut merupakan elemen-elemen yang terdapat dalam sesebuah pilihan raya.
Terdapat empat elemen utama dalam pilihanraya iaitu :
a. Pengundi
b. Calon
c. Bahagian pilihan raya
d. Prosedur pilihan raya
1.0 Pengundi
Setiap pengundi (kecuali wilayah Persekutuan) dikehendaki membuang dua kertas undi dengan satu pemilihan untuk wakil Dewan Undang Negeri (DUN) dan satu lagi bagi wakil Dewan Rakyat. Hal ini disebabkan Parlimen dan DUN dibubarkan serentak untuk pilihan raya umum. Untuk mengundi, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh rakyat Malaysia. Seseorang yang layak didaftar sebagai pengundi dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil adalah seseorang rakyat Malaysia yang memenuhi syarat seperti warganegara Malaysia, berumur 21 tahun ke atas, telah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam daftar pemilih dan tidak hilang kelayakan.
Kepada mereka yang bermastautin di luar kawasan pilihan raya, mereka boleh mengundi melalui pos. Antara mereka yang terlibat ialah anggota perkhidmatan awam (termasuk isteri atau suami yang bertugas di luar negara. Selain itu, pegawai-pegawai SPR yang bertugas pada hari pengundian boleh mengundi secara undian pos. Anggota polis sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang Malaysia yang bertugas di luar kawasan pilihan raya juga layak untuk mengundi secara pos. Pegawai tentera yang berkhidmat di hutan belantara dan pelajar-pelajar termasuk suami atau isteri yang belajar di luar negara pada masa pilihan raya juga boleh membuat undian pos. Selain itu, kertas undi pos mesti sampai kepada Pegawai Pengurus SPR sebelum pukul lima petang pada hari pengundian.
1.1 Hilang Kelayakan
Seseorang pemilih akan hilang kelayakan jika dia pada tarikh kelayakan, ditahan kerana tidak siuman atau sedang menjalani hukuman penjara atau sebelum tarikh kelayakan, telah didapati bersalah dan dihukum mati atau penjara untuk tempoh lebih 12 bulan dan masih menjalani hukuman pada tarikh kelayakan atau telah didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atau telah memperoleh kerakyatan asing. Selain itu urusan pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih atau pengundi dijalankansepanjang tahun.
1.2 Semakan Daftar Pengundi
Semakan daftar pemilih dijalankan di sepanjang tahun, seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang. Anda boleh mendaftar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri, Pejabat-Pejabat Pos atau melalui unit-unit bergerak Suruhanjaya. Daftar-daftar pemilih baru disediakan setiap 3 bulan sekali dan ia dipamerkan selama 7 hari bagi tujuan urusan tuntutan dan bantahan. Selepas mempertimbangkan tuntutan dan bantahan melalui siasatan awam, daftar pemilih untuk tahun berkenaan akan disahkan oleh Suruhanjaya di dalam tempoh sebulan. Semasa semakan daftar induk, nama-nama pemilih yang sudah meninggal dunia dan yang sudah hilang kelayakan mengikut undang-undang akan dikeluarkan daripada daftar berkenaan.
2.0 Calon Pilihan Raya
Calon pilihan raya yang bertanding dalam sesebuah pilihan raya merujuk kepada warganegara Malaysia, berumur 21 tahun ke atas, sempurna akal fikiran, tidak muflis, tidak pernah dipenjarakan melebihi 12 bulan tanpa pengampunan, tidak pernah didenda RM 2000 ke atas tanpa pengampunan. Selain itu, untuk menjadi calon pilihan raya seseorang itu mesti taat kepada negara dengan tidak memperoleh kewarganegaraan asing, calon mesti bermastautin di dalam negeri berkenaan jika bertanding untuk kerusi DUN. Calon pilihan raya juga mesti memenuhi syarat dengan tidak boleh memegang jawatan berpendapatan seperti kakitangan awam, hakim dan sebagainya. Akhir sekali, seseorang calon itu wajib mengemukakan penyata perbelanjaan selepas pilihan raya selesai.
Pilihan raya akan diadakan jika ada calon-calon di kawasan pilihan raya itu yang merebut jawatan ahli DUN kawasan itu. Sekiranya hanya seorang calon sahaja yang didaftar, maka calon itu diisytiharkan sebagai pemenang tanpa bertanding.
3.0 Bahagian Pilihan Raya
Pembentukan dan penentuan bahagian-bahagian pilihan raya ini berpandukan undang-undang yang telah diwartakan. Pembahagian bahagian-bahagian pilihan raya ini berkaitan dengan jumlah penduduk dan keluasan kawasan berkenaan. Hal ini menunjukkan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) bertanggungjawab menyempadan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri dalam tempoh tidak kurang dari lapan tahun selepas tarikh akhir penyempadanan dijalankan dantidak lebih dari 10 tahun.
4.0 Prosedur Pilihan Raya
Pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan lima tahun sekali dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran. Namun, pembubaran boleh diawalkan oleh DYMM bagi Dewan Rakyat dan sultan atau Yang dipertua Negeri bagi DUN. Sekiranya berlaku kekosongan kerusi akibat kematian, perletakan jawatan dan sebagainya, pilihan raya kecil boleh diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan. Namun, mengikut pindaan Perlembagaan Persekutuan, sekiranya kekosongan tesebut tidak perlu diisi melainkan mendapat persetujuan daripada Speaker Dewan.
4.1 Perjalanan Pilihan Raya
Notis pemberitahuan pendaftaran nama-nama pemilih diwartakan oleh SPR kepada para pendaftar pemilih baharu mendaftar nama dan para pemilih lama berdaftar kepada pegawai pendaftar jika ingin berpindah ke kawasan pilihan raya lain. Semakan semula pengundi diadakan untuk memastikan pengemaskinian butir dan tempat pilihan raya untuk kawasan tertentu. Parlimen akan dibubar oleh DYMM selepas kesemua pendaftaran dan semakan nama pemgundi dibuat. Tarikh pilihan raya umum ditetapkan selepas pembubaran Parlimen dalam tempoh 60 hari selepas SPR mengeluarkan writ pilihan raya dan notis disiarkan dalam Warta Kerajaan yang mengandungi keterangan hari penamaan dan hari pengundian.
4.2 Hari Penamaan Calon
Hari penamaan calon merujuk kepada hari yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi calon-calon mengemukakan kertas-kertas penamaan untuk bertanding dalam pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Kertas-kertas penamaan boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong atau salah seorang daripada mereka. Kertas-kertas penamaan mestilah dikemukakan di antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada hari penamaan. Kertas-kertas penamaan akan dipamerkan dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan bantahan. Dalam kes di mana seorang calon sahaja yang dicadangkan, Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon itu menang tanpa bertanding.
4.3 Kempen Pilihan Raya
Suruhanjaya Pilihan Raya telah merangka peraturan-peraturan khas untuk berkempen, seperti yang tertera di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002. Kempen hanya boleh dimulakan selepas selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar Suruhanjaya mempunyai kuasa di bawah perkara 3(5) Akta Pilihan Raya 1958 dan perkara 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa danmembentuk satu atau lebih Pasukan-pasukan Penguat Kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen, jika difikirkan perlu.
Unit ini dianggotai oleh Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, seorang wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah, seorang wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang wakil tiap-tiap parti/calon yang bertanding. Pegawai Penguat Kuasa bertanggungjawab kepada Pegawai Pengurus, dan tugas pasukan ini ialah untuk memantau bahan-bahan kempen, ceramah-ceramah pilihan raya dan perhimpunan umum, bagi memastikan peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya tidak dilanggar. Suruhanjaya Pilihan Raya juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat Pusat/Negeri/bahagian-bahagian pilihan raya bagi memberikan penerangan kepada parti-parti politik, calon-calon atau ejen-ejen dan petugas-petugas parti mengenai undang-undang dan peraturan pilihan raya. Senarai perkara yang mesti dipatuhi dan dilarang semasa pilihan raya disediakan, dan ini perlu diambil ingatan oleh calon-calon dan petugas-petugas parti.
4.4 Deposit
Wang pendahuluan sebanyak RM 10, 000 untuk pilihan raya Dewan Rakyat dan RM 5,000 untuk pilihan raya DUN disertakan bersama dengan kertas penamaan. Wang pendahuluan akan hilang jika seseorang calon tidak mendapat 1/8 daripada jumlah undi diperoleh semua calon dalam bahagian pilihan raya itu.
4.5 Penggunaan Simbol
Calon daripada parti politik boleh menggunakan simbol parti selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa parti, sementara calon bebas menggunakan simbol-simbol yang disediakan oleh SPR. Kempen bermula selepas penamaan calon untuk memancing undid an calon-calon hendaklah mematuhi etika pilihan raya agar memastikan suasana aman dan tenteram. Semua bentuk kempen pilihan raya ditamatkan sebelum pukul 12.00 tengah malam menjelang hari pengundian.
4.6 Hari Mengundi
Hari mengundi adalah merujuk kepada hari pemilih-pemilih membuang undi. Secara rasmi hari mengundi bermula dari selepas 12.00 tengah malam dan berakhir dengan pengumuman keputusan pilihan raya. Namun demikian, waktu membuang undi ditetapkan dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang di seluruh Malaysia.Bagi kawasan-kawasan pedalaman, unit-unit bergerak digunakan bagi memastikan kelancaran membuang undi. Selain dari itu, Di kawasan yang menghadapi masalah perhubungan, hari mengundi dilanjutkan selama dua hari iaitu terutama kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Suruhanjaya Pilihan Raya biasanya akan mengeluarkan notis untuk memaklumkan orang ramai tentang perkara-perkara pilihan raya seperti:
• Tarikh mengundi;
• Lokasi tempat mengundi;
• Waktu mengundi di semua tempat mengundi;
• Lokasi pusat pengiraan dan penjumlahan undi.
• Pengundian dilakukan di tempat-tempat mengundi yang telah diwartakan. Setiap tempat mengundi mempunyai seorang Ketua Tempat Mengundi yang mengawal selia proses pengundian. Beliau akan dibantu oleh kerani mengundi dan kerani mengira undi.
Pengundian dijalankan di beberapa tempat mengundi yang diwartakan. Setiap tempat mengundi diketuai oleh ketua tempat mengundi dan dibantu oleh kerani pengundian. Calon dibenarkan mendirikan pondok di luar sempadan tempat mengundi yang ditentukan oleh Pegawai Pengurus untuk membantu pemilih menyemak nombor siri dalam daftar pemilih.
4.7 Kebenaran memasuki tempat mengundi
Hanya orang yang tertentu sahaja dibenarkan berada di tempat mengundi iaitu:-
a) Pemilih yang namanya ada dalam daftar pemilih tempat mengundi ahli dan pegawai SPR
b) Ketua tempat mengundi dan kakitangan yang membantu
c) Calon dan ejen pilihan raya
d) Ejen tempat mengundi (seorang wakil calon dibenarkan berada dintempat mengundi untuk memastikan tidak berlaku penipuan dan segalanya dujalankan denganlancar
e) Orang yang mendapat lebenaran daripada SPR
4.8 Cara-Cara Mengundi
Undi adalah rahsia. Seseorang pemilih hanya boleh memangkah seorang calon sahaja, iaitu dengan menandakan ‘X’ bersebelahan nama calon yang dipilih. Selepas menandakan kertas undi, pengundi perlu melipatnya mengikut garisan di kertas undi, dan seterusnya memasukkannya ke dalam peti undi yang disediakan. Jika diadakan pilihan raya serentak (Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri) kertas-kertas undi mestilah ditanda, dilipat dan dimasukkan ke dalam peti undi yang berasingan yang ditanda “PARLIMEN” dan “NEGERI.
4.9 Undi Pos
Undi pos dihantar dengan pos seawal yang mungkin kepada pemilih yang layak mengundi melalui pos. Biasanya pengundi pos terdiri daripada anggota tentera, Pasukan Polis Hutan, petugas-petugas pilihan raya, pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara, pelajar yang menuntut di luar negara, serta isteri atau suami masing-masing. Kertas undi pos mesti sampai kepada Pegawai Pengurus selewat-lewatnya jam 5.00 petang pada hari mengundi. Prosedur-prosedur yang lengkap telah disediakan untuk menjaga kerahsiaan undi.
4.10 Pengiraan undi
Pengiraan undi dilakukan di tempat mengundi atau berkelompok dan undi-undi pos setiap bahagian pilihan raya dikira di tempat yang ditetapkan oleh Pegawai Pengurus. Semasa pengiraan dan penjumlahan rasmi undi, hanya orang ini dibenarkan berada di situ:-
a) Ahli dan pegawai SPR
b) Pegawai dilantik SPR
c) Kerani mengira undi
d) Calon, ejen pilihan raya dan ejen mengira undi ( Kehadiran ejen-ejen calon adalah untuk memastikan pengiraan undi dijalankan mengikut proses yang betul seperti yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan dan bagi memastikan urusan pengiraan undi itu betul, adil dan telus).
4.11 Penjumlahan Rasmi Undi
Selepas pengiraan undi di tempat mengundi, penyata pengiraan undi dibawa kepada Pegawai Pengurus di tempat penjumlahan semua keputusan dari tempat mengundi. Keputusan pilihan raya akan diumumkan oleh Pegawai Pengurus kawasan pilihan raya tersebut dan pemenangnya akan dikenal pasti melalui undi terbanyak. Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya itu akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti, sebagai wakil yang terpilih bagi bahagian pilihan raya berkenaan.
4.12 Petisyen Pilihan Raya
Seterusnya, keputusan seluruh bahagian pilihan raya umum akan diumumkan kepada seluruh rakyat Malaysia dan parti yang menang majoriti akan membentuk kerajaan. Keputusan pilihan raya boleh dipertikaikan di Mahkamah Tinggi dalam masa 21 hari selepas pengumuman keputusan pilihan raya diwartakandengan alasan:-
a) Berlaku penyogokan atau perbuatan menyalahi undnag-umdang
b) Tidak mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya
c) Calon atau ejen calon hilang kelayakan
d) Berlaku penipuan atau ugutan
Sekiranya hakim pilihan raya memutuskan bahawa pilihan raya itu tidak sah, maka SPR akan mengadakan pilihan raya baharu bagi bahagian pilihan raya berkenaan.
4.13 Penyata Perbelanjaan Mengundi
Seseorang calon boleh membelanjakan jumlah wang bagi pilihan raya pada tahap tidak melebihi nilai berikut:-
a) RM 100,000 bagi pilihan raya Dewan Rakyat
b) RM 50, 000 bagi pilihan raya DUN
Penyata perbelanjaan pilihan raya diserah kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri atau Pegawai Pengurus dalam tempoh 31 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan dan kegagalan berbuat demikian merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang pilihan raya. Dokumen dokumen seperti kertas undi dan daftar pemilih dalam sampul-sampul khas dimeterai ketua tempat mengundi dan ejen-ejen calon yang hadir untuk disimpan selama enam bulan dan hanya dibuka apabila perlu atas arahan Hakim Mahkamah Tinggi.
4.14 Penyimpanan dan Pelupusan
Dalam proses pilihan raya, satu aspek penting ialah penyimpanan kertas-kertas undi dan dokumen lain berkaitan. Dokumen-dokumen ini mestilah disimpan di dalam peti atau peti-peti khas dan dikunci dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon. Selain itu, peti-peti khas ini disimpan selama 6 bulan di bawah pengawasan Pegawai Pengurus. Pengarah Pilihan Raya Negeri akan menyimpan daftar pemilih yang telah ditandakan dan juga 'counter foils' kertas undi. Ini adalah bagi menjamin kerahsiaan undi. Peti-peti itu hanya boleh dibuka atas arahan Hakim Mahkamah Tinggi, jika ada kes-kes petisyen. Justeru, selepas tempoh 6 bulan, Pegawai Pengurus, selepas mendapat kebenaran Suruhanjaya Pilihan Raya akan melupuskan kertas-kertas undi dan dokumen-dokumen berkenaan. Pegawai Pengurus kemudian akan mengemukakan sijil pelupusan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri.
________________________________________________________________
Bumi Kenyalang kini hangat dengan Pilihan Raya yang bakal diadakan pada 16 April 2011. diharapkan agar warga Sarawak mampu membuat keputusan bijak dalam memilih pemimpin mereka:))
________________________________________________________________
No comments:
Post a Comment