1.0 Apakah Pengajaran :
Pengajaran ialah sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan muridnya. Pengajaran ini adalah dirancangkan guru secara sistematik dan teliti untuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar, demi memperolehi ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan.
1.1 Ciri-ciri dalam pengajaran :
• Melibatkan guru dan murid,
• Guru sebagai pengajar dan murid sebagai pembelajar,
• Bermakna apabila ada pembelajaran,
• Melibatkan instruksi diikuti dengan latihan, indoktrinasi dan pelaziman,
• melibatkan proses pemikiran dan penggunaan bahasa atau symbol,
• ada kaitan dengan tugasan dan pencapaian,
• boleh dijalankan dengan aktiviti berpusatkan guru, murid dan gabungan guru-murid serta berpusatkan sumber,
• meliputi rancangan mengajar (KOPI),
• proses yang melibatkan interaksi dua hala,
• ada unsur sains dan seni.
2.0 Apa dia pembelajaran?
Umumnya “Pembelajaran merupakan proses memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran”. Mengikut Robert M. Gagne (1970) dalam The Condition of Learning, pembelajaran merupakan “perubahan tingkahlaku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan proses pertumbuhan”. Mengikut Woolfolk (1980) dalam Educational Psychology for Teachers, pembelajaran dilihat sebagai perubahan dalaman yang berlaku kepada seseorang dengan membentuk perkaitan yang baru, atau sebagai potensi yang sanggup menghasilkan tindak balas yang baru.
2.1 Ciri-ciri dalam pembelajaran
• Satu proses yang berterusan,
• Secara formal dan tak formal,
• Secara formal melalui sekolah – membaca, menulis & mengira dsb.,
• Secara tak formal melalui rakan sebaya, keluarga, media massa, persekitaran.
• Mempunyai teori-teori atau mazhab pembelajaran,
• Empat mazhab pembelajaran utama – behavioris, kognitif, sosial dan humanis.
3.0 Terdapat beberapa istilah dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu kaedah, teknik, pendekatan serta strategi.
Bagi seseorang guru pelatih yang menjejak kakinya dalam arena pengajaran malah ramai guru yang berpengalaman, konsep kaedah, teknik, pendekatan serta strategi pengajaran amat sukar dibeza-bezakan.
Terdapat orang yang menganggap bahawa semua istilah tersebut adalah sama dengan cara pengajaran sahaja. Penjelasan tentang perhubungan di antara keempat-empat konsep adalah amat berguna bagi guru-guru pelatih yang menjalankan latihan mengajar supaya ilmu pedagogi yang dipelajari itu dapat diamalkan dalam bilik darjah.
3.1 Kaedah
Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat. Kaedah pengajaran terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain. Kaedah-kaedah pengajaran adalah seperti cerita, perbincangan, bermain, latih tubi, main peranan, menyelesaikan masalah, sumbangsaran, perbahasan, kuiz, lakonan, projek, soalan atau Sokratik.
3.2 Teknik
Kita perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang khusus dalam menjayakan kaedah tersebut. Kemahiran khusus tersebut adalah dimaksudkan sebagai teknik. Bolehlah kita menyatakan bahawa semua kaedah mempunyai teknik-teknik tertentu yang disusun dengan sistematik. Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil. Contoh Kaedah bercerita: Teknik-teknik bercerita yang dimaksudkan ialah kawalan nada suara, penggunaan alatan yang berkenaan, kemahiran mengekalkan minat murid, gerakan tangan "facial expression", serta kedudukan murid-murid semasa aktiviti bercerita itu berlangsung. Kaedah soalan: Teknik-teknik menyoal yang baik seperti soalan-soalan yang ditanya haruslah jelas dan tepat, pelajar-pelajar diberi masa untuk memikirkan jawapan soalan sebelum sesiapa dipanggil untuk menjawab, layanan yang munasabah bagi semua tindak balas daripada murid, suara haruslah jelas, mempelbagaikan soalan-soalan yang ditanya dan sebagainya.
3.3 Pendekatan
Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu sasaran atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu. Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Contohnya, Cara pengelolaan murid, cara-cara fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain. Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti pendekatan individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas, pendekatan kelas bercantum dan sebagainya. Berdasarkan kriteria bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi isi mudah ke isi susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak.
3.4 Strategi
Strategi boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum. Terdapat tiga strategi dalam pengajaran iaitu strategi pemusatan guru, strategi pemusatan muris dan strategi pemusatan bahan pelajaran. Untuk mencapai objektif-objektif pengajaran, seseorang guru biasanya menggunakan gabungan berapa pendekatan serta kaedah mengajar tertentu. Rancangan gabungan pendekatan dan kaedah serta turutan pendekatan dan kaedah itu dilaksanakan merupakan strategi pengajaran. Contohnya, Dalam bilik darjah yang biasanya terdiri daripada kumpulan lemah, kumpulan sederhana serta kumpulang cergas, guru terpaksa memikirkan strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua kumpulan.
4.0 Analogi bagi STRATEGI, PENDEKATAN, KAEDAH dan TEKNIK.
Untuk membezakan beberapa unsur ini, analogi berikut dapat menjelaskan lagi seterusnya membezakan unsur-unsur tersebut.
4.1 Kes Memasak Ayam
• Kaedah-kaedah yang biasa kita gunakan ialah seperti menggoreng, merebus, memanggang atau mengukus.
• Teknik untuk menggoreng ayam, kita mesti memanaskan kuali terlebih dahulu sebelum mencurahkan minyak ke dalamnya; untuk mengelakkan ayam melekat pada kuali, suatu lagi teknik ialah memasukkan sedikit garam ke dalam minyak yang telah panas di kuali. Teknik untuk memanggang pula, ayam perlu diperap semalaman. Begitu juga dengan teknik-teknik lain, masing-masing mempunyai teknik yang tersendiri.
• Pendekatan-pendekatan memasak ayam yang kita boleh gunakan ialah seperti pendekatan Timur atau pendekatan Barat. Bagi pendekatan Barat, kita dapati keutamaan ditegaskan pada nilai kalori, nilai makanan dari segi zat makanan dan ciri-ciri makanan seimbang. Bagi pendekatan Timur pula, keutamaan adalah diberi kepada rasa seperti rupa makanan tetapi tidak begitu mementingkan nilai kalori atau ciri-ciri makanan seimbangan.
• Kalau kita ingin memasak seekor ayam yang agak besar (3 kilogram) kita perlu merancangkan strategi memasak supaya kita dapat kepuasan dan faedah yang paling banyak dengan menggunakan masa, tenaga serta sumber yang paling minimum. Di sini kita perlu merancangkan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk memasak ayam tersebut. Umpamanya adalah kita menggoreng kepalanya, merebus ekornya, memanggang tulang diikuti dengan mendidihnya dalam sup, menjerut telurnya dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment