Perjuangan dalam membebaskan diri daripada cengkaman penjajah di Tanah Melayu menyaksikan pelbagai pejuang gigih yang mewarnai zaman politik pra merdeka sehinggalah merdeka tercapai. Munculnya pelbagai gerakan sama ada gerakan yang berhaluan kanan atau gerakan perjuangan berhaluan kiri yang mempunyai agenda perjuangan tersendiri. Gerakan yang berhaluan kiri lazimnya dikenali sebagai radikal yang lazimnya memilih untuk tidak berkompromi dan bertindak keras dengan penjajah. Bertentangan pula dengan bagi gerakan yang berhaluan kanan yang lebih dikenali sebagai golongan yang berkompromi dengan pihak penjajah. Di Tanah Melayu banyak gerakan yang memilih untuk tidak berkompromi dengan penjajah dan mereka inilah yang dikenali sebagai golongan yang berhaluan kiri. Antaranya adalah Dr Burhannudin Al-Helmy, Tan Cheng Lock, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam yang turut mewarnai dunia perjuangan pada masa tersebut. (Ishak Saat:2007:83) Bermulanya perjuangan berhaluan kiri apabila tertubuhnya Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang diterajui oleh Hizbul Muslimin pada awal tahun 1920-an hingga 1930-an yang memperjuangkan ideologi perjuangan Islam. Namun KMM disekat oleh penjajah ketika itu yang merasa tergugat dengan gerakan ini. Rentetan daripada itulah telah tertubuhnya lebih banyak lagi gerakan yang memperjuangkan kebebasan daripada penjajah yang melibatkan ramai tokoh-tokoh ternama seperti Ahmad Boestamam yang terlibat dalam gerakan politik berhaluan kiri. Perbincangan seterusnya membuktikan bahawa Ahmad Boestamam seorang ahli politik haluan kiri yang radikal dalam perjuangannya.
Ahmad Boestamam bukan lah nama yang asing lagi di Tanah Melayu dalam dunia pesuratan atau kewartawanan malahan namanya turut gah di persada politik sebelum kemerdekaan sehingga awal kemerdekaan. Nama sebenar beliau ialah Abdullah Thani bin Raja Kecil yang dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Behrang Ulu, Tanjong Malim, Perak. Nama pena beliau diambil sempena nama seorang tokoh India yang sangat dikaguminya iaitu Shubhas Chandra Bose yang banyak mempengaruhi AB dalam penulisannya. Beliau merupakan anak lelaki tunggal selain mempunyai dua orang kakak dan seorang adik perempuan. Kedua-dua ibu bapa beliau berketurunan minangkabau dan telah datang ke Tanah Melayu pada awal kurun 20M. Keluarga beliau dipandang tinggi kerana bapa beliau dianggap sebagai ketua kampung oleh masyarakat kampung. Beliau sudah mula menunjukkan sifat radikal beliau sejak di bangku sekolah lagi apabila beliau mula terlibat dalam bidang kewartawanan. Beliau dikenali sebagai pelajar yang bijak dan sering mendapat pujian daripada gurunya terutama ketika membuat karangan. Malahan beliau juga turut dilantik sebagai ketua kelas kerana berbadan besar dan berperwatakan serius dan ini telah membina sedikit sebanyak sifat kepimpinan dalam diri beliau. AB memulakan kerjayanya sebagai wartawan dan mula melibatkan diri dalam arena politik Tanah Melayu sejak sebelum merdeka lagi. Namun beliau telah melalui pelbagai rintangan dan halangan dalam misi perjuangan. Penyertaan beliau dalam politik radikal telah meletakkan beliau sebagai seorang pembangkang yang disegani kawan mahupun lawan.
Ketika berada di Anderson School, Ipoh, beliau banyak terdedah dengan bahan bacaan daripada Indonesia yang memerihalkan tentang perjuangan tanah air. Hal ini secara langsung memberi kesedaran kepada AB tentang pembelaan nasib orang Melayu. Timbul rasa tanggungjawab dalam diri beliau untuk membela nasib orang Melayu. Dengan itu, beliau bersama penuntut Melayu yang lain telah menubuhkan kumpulan kebangsaan di sekolah tersebut yang menyatukan dan menjaga kepentingan ahli-ahlinya seperti menggunakan bahasa Melayu dalam percakapan. Malahan beliau telah menunjukkan sikap peka terhadap golongan penjajah apabila beliau bersama-sama rakannya telah membakar buku karangan H.g Well yang dikatakan memburuk-burukan Rasulullah (Ishak Saat:2007:3 ). Ketika berusia 17 tahun, beliau sudah mula bergiat dalam dunia penulisan apabila telah bekerja di akhbar Saudara walaupun secara sambilan sahaja. Pada tahun 1937, beliau telah menduduki Junior Cambridge (JC) namun telah mengalami kegagalan berpunca daripada tumpuan serta komitmen yang terlalu banyak dalam bidang penulisan surat khabar. Susulan daripada kegagalan beliau dalan JC tersebut, beliau telah kembali ke kampung dan enggan meneruskan pelajaran walaupun didesak oleh Guru Besar dan keluarga beliau. Secara kronologinya, AB telah bekerja di bawah beberapa syarikat akhbar dalam tempoh empat tahun bermula 1937 hingga 1940 antaranya adalah akhbar Saudara, Warta Kinta, Majlis, Utusan Melayu dan akhirnya ke Warta Malaya. Walau bagaimanapun perpindahan tersebut memberi faedah dalam mencari pengalaman dan pendedahan bagi merangsang minat dan cita-cita politiknya. Malah menjadi peluang untuk membolehkannya bergaul dengan tokoh-tokoh wartawan melayu yang lain seperti Abdul Rahim Kajai, Ibrahin Hj Yaacob dan Ishak Hj Muhammad (Ramlah Adam, 2003 ; 418). Ahmad Boestamam difahamkan telah mula berjinak dengan akhbar semasa di bangku sekolah lagi. Beliau sering menghantar karya tulisannya ke akhbar-akhbar berkenaan. Malah kecenderungannya itu mendorong beliau untuk berusaha menerbitkan sebuah akhbar kecil yang dinamakan Warta Perak secara kongsi dengan beberapa anggota Persatuan Melayu Perak yang menjadi wadah pencetusan idea dan gagasan bagi memajukan masyarakat Melayu dalam bidang sosio-ekonomi. Dalam penglibatan AB dalam akhbar Majlis, beliau terdedah dengan dua tokoh besar yang menerajui akhbar tersebut iaitu Ibrahim Hj Yaakub (IBHY) dan Abdul Rahim Kajai. Malahan melalui penglibatanya dalam akhbar Majlis secara tidak langsung memberi peluang kepada beliau untuk bergiat dalam politik melalui IBHY yang telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Dengan itu, AB secara langsung telah terlibat dengan golongan kiri Melayu. Kepentingan politik AB secara organisasi bermula dengan peglibatannya dalam KMM sebagai Penolong Setiausaha KMM yang ditubuhkan pada 1939 dan diketuai oleh Ibrahim Hj Yaacob (IBHY). AB tidak terlibat dengan perancangan IBHY untuk menjadikan KMM sebagai satu ejen propaganda dan informasi Jepun di Semenanjung.(Ramlah Adam:2003:420). Pada Disember 1941, AB bersama dengan 130 orang pendokong yang lain telah ditangkap oleh orang British yang menganggap mereka sebagai aktivis politik anti-penjajahan. Walaupun AB hanya menjadi orang keempat penting dalam KMM namun beliau tetap dianggap terbabit dalam kegiatan anti-British.
Kedatangan Jepun yang telah mengalahkan British pada 1942 telah membebaskan AB dan tahanan yang lain. Ini telah memberi peluang kepada beliau untuk terus terlibat dengan penulisan apabila beliau telah bekerja di Berita Perak yang telah menjadikan beliau sebagai seorang propaganda Jepun pada ketika itu. Antara kata-kata beliau ialah “ Empayar Jepun bertujuan memberi peluang kepada setiap bangsa dan umat supaya mempunyai hak-hak yang sama dan akan memberi kesejahteraan.” Melalui sokongan beliau terhadap Jepun, beliau telah mendapat latihan ketenteraan oleh Jepun di Durian Daun, Melaka. Sebagai seorang pegwai kerajaan Jepun, AB tidak menghadapi masalah dalam kehidupan sama ada dari segi bekalan makanan dan kewangan. Malahan beliau telah menubuhkan Barisan Pemuda Melayu (BPM). (Ramlah Adam:1994:43). AB telah melihat peluang ini sebagai ganti kepada KMM yang telah diharamkan oleh Jepun pada 1942. Sepanjang pemerintahan Jepun, ciri-ciri pemerintahan British masih diamalkan apabila masih mengekalkan intitusi raja, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri masih dikekalkan. Ini menyebabkan golongan kiri tidak dapat memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran. Penglibatan Ahmad Boestamam tidak berhenti hanya di situ, apabila beliau telah mengasaskan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Kekalahan Jepun dalam perang dunia Kedua amat memeranjatkan Ahmad Boestamam dan beliau dikatakan seorang pemimpin yang bersikap “gergaji mata dua” kerana berkerjasama dengan pihak Jepun dan Malayan People Anti-Japananese Army (MPAJA). Ahmad Boestamam juga telah mengasaskan sebuah akhbar Melayu iaitu Suara Rakyat yang banyak membidas pemerintahan British. Selepas itu, mereka juga telah menubuhkan sebuah lagi akhbar yang berbahasa Inggeris yang iaitu Voice of the People bagi mendapat lebih banyak lagi sokongan daripada golongan politik kiri yang berpendidikan Inggeris.
Pada tahun 1945, Parti Komunis Malaya (PKM) telah mencadangkan penubuhan sebuah parti politik berhaluan kiri melalui Mokhtaruddin Lasso dan kemudiannya telah diberi nama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Dalam PKMM, Mokhtaruddin Lasso telah dilantik sebagai presiden dan Dr Burhannuddin sebagai naib presidennya, manakala AB telah dilantik sebagai Ketua Pemuda PKMM sahaja walaupun banyak memberi sumbangan kepada Suara Rakyat. Melalui PKMM, telah termaktub beberapa dasar yang terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu; pertama, PKMM ingin menubuhkan sebuah negara Tanah Melayu dengan menggabungkan rakyat berbilang kaum sebagai satu bangsa Malayan. Kedua, Tanah Melayu akan menjadi negara besar yang dinamakan Republik Indonesia Raya dan ketiga ialah kepentingan orang Melayu dari segi pelajaran dengan menggunakan bahasa ibunda akan dimajukan. Maka secara jelasnya bahawa PKMM bukan parti Melayu yang berjuang sepenuhnya untuk kepentingan orang Melayu sahaja. Melalui kerjasamanya dengan PKM yang mempunyai dasar tentang pembentukan sebuah bangsa Malayan adalah berteraskan ideologi komunisme dan tidak seiring dengan corak politik orang Melayu Semenajung yang memperjuangkan ketuanan Melayu. Menyedari akan hakikat tersebut, AB telah memasukkan dasar baru iaitu untuk membentuk Melayu Raya atau Indonesia Raya dalam PKMM. Pada Kongres 1946, AB dan beberapa orang pemimpin PKMM tida menjadi orang penting dalam kongres tersebut dan AB tidak daapt menerima keadaan ini. Maka tanpa disedari oleh Dr BUrhanuddin, AB dan Ishak Hj Muhammad telah membawa PKMM keluar daripada UMNO setelah menjadi anggota UMNO selama tiga bulan. AB menuduh UMNO sebagai tidak adil kerana hanya member dua undi sahaja kepada PKMM. Tuduhan tersebut telah disokong oleh PKM yang telah mengatakan bahawa UMNO sebagai sebuah parti yang menyokong penjajah British dan tidak menginginkan kemerdekaan. Sokongan PKM tersebut telah memberi peluang kepada UMNO untuk mendapatkan sokongan raja-raja Melayu dan orang Melayu yang lain. UMNO telah mendapat restu daripada raja-raja Melayu dan merupakan simbol ketuanan Melayu. AB dan PKMM telah melancarkan strategi dalam memikat kerajaan British dengan memberi sokongan terhadap cadangan Malayan Union mengenai prinsip kerakyatan jus soli telah ditentang oleh UMNO. Ini telah menyebabkan AB dan PKMM memilih untuk menentang UMNO dan British.
Berbekalkan kebolehan berucap yang ada, AB telah mengadakan pelbagai rapat umum untuk menarik perhatian orang ramai. Akhbar Suara Rakyat dan Voice of the People merupakan ejen utama untuk meluaskan pengaruh PKMM dalam masyarakat. PKMM juga telah mengadalan kongres sebagai satu strategi untuk menyebarkan pengaruh di Tanah Melayu terutama di Perak apabila dua kongresnya diadakan di Ipoh manakala kongres ketiga di Melaka. Kesungguhan AB menggerakkan PKMM di Perak telah mengubah keadaan politik Tanah Melayu apabila beliau secara sedar mahu menggantikan Singapura yang menjadi pusat politik selama ini. Penubuhan PKMM di Perak telah menunjukkan usaha AB untuk memintas kekuatan pemimpin politik radikal Melayu seperi Dr. Burhanuddin yang masih tinggal di Singapura. Selepas lima bulan penubuhan PKMM , AB telah mencadangkan untuk menubuhkan satu parti politik untuk mengumpul kekuatan pemuda bagi mendapat kemerdekaan dan telah menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf (API). Maka pada Februari 1947, API telah ditubuhkan di Ipoh yang diketuai oleh Ahmad Boestamam. API dianggotai oleh barisan pemuda dan wanita yang bersemangat tinggi. API pada asalnya merupalan sayap kanan pemuda PKMM, namun kerana keradikalannya yang menonjol, API telah dipisahkan dari PKMM dan menjadi pergerakan politik tersendiri. (Ishak Saat:2007:17)
Keradikalan API telah ditonjolkan dalam buku AB yang bertajuk Testament Politik API yang banyak membangkitkan semangat anggota API kerana dipercayai menghasut dan membakar semangat pemuda-pemuda Melayu. Melalui Testament Politik API, AB telah menetapkan lima matlamat API yang bersifat politik antaranya ialah menyatukan pemuda yang insaf dalam satu barisan, mengukuhkan barisan perjuangan untuk bangsa dan tanah air, memberi latihan sahsiah, rohani dan jasmani kepada pemuda supaya bersedia menjadi pemimpin apabila dikehendaki, membina semula Malaya mengikut fahaman demokrasi yang sejati berdasarkan kedaulatan rakyat dan menuntut perwakilan dalam pemerintahan Malaya. Melalui penubuhan API menunjukkan bahawa kesungguhan pemuda Melayu untuk menuntut kemerdakaan bahkan menentang pihak British (Ramlah Adam:1994:163). Anggota API mempunyai identiti yang tersendiri dengan dilengkapi dengan pakaian seragam yang serba putih dengan berlilitkan kain merah tertera nama API di lengan. Mereka juga mempunyai slogan dan lagu rakyat tersendiri bagi membangkitkan semangat anggotanya untuk mendapatkan kemerdekaan. Malah API juga ditafsirkan sebagai Angkatan Pembunuh Inggeris. Slogan yang digunakan oleh golonga ini ialah Merdeka dan Merdeka Dengan Darah yang telah membakar semangat pemuda-pemuda Melayu namun telah menggerunkan British. Merdeka adalah slogan PKMM manakala Merdeka Dengan Darah adalah slogan API. Melalui slogan tersebut telah menunjukkan mereka benar-benar bersemangat dalam menuntut kemerdekaan dan ini amat menakutkan British. Malahan API bukan sahaja menakutkan Britsih melalui slogannya malahan melalui beberapa lagu rakyat antaranya ialah Darah Rakyat dan Dari Barat Sampai ke Timur. Lagu ini seringkali dimainkan setiap kali majlis perjumpaan dan latihan ketenteraan anggota API dengan tujuan untuk membangkitkan semangat anggota API.
Perkembangan API amat hebat sehingga disenaraikan oleh British sebagai salah satu pertubuhan politik yang membahayakan kedudukannya di Tanah Melayu dan seterusnya mengkategorikan API setaraf dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dengan dakwaan terdapat kerjasama erat antara mereka. Ini membuktikan kepimpinan beliau dalam API berjaya mengugat dan menggerunkan pemerintahan British melalui dasarnya yang lebih terbuka menentang penjajahan British dan tuntutan kemerdekaan dengan darah serta cita-citanya untuk mencamtumkan Tanah Melayu dengan Republik Indonesia. Oleh yang demikian API kemudiannya diharamkan oleh British pada Julai 1947 iaitu selepas sambutan ulang tahun pertama API di Kuala Kangsar kerana terlalu radikal sehingga sanggup menggunakan kekerasan bila berhadapan dengan penjajah demi mencapai objektif memerdekakan Tanah Melayu. Penampilan ketara beliau dalam API telah menjadi alasan kukuh kepada pemerintah untuk menangkap dan memenjarakannya untuk kali kedua di bawah Akta Undang-undang Darurat 1948 dengan pelbagai tuduhan termasuk terlibat dengan anasir komunis dan peristiwa pada 16 Jun 1948. Jelaslah bahawa keberaniannya inilah yang menjadi punca beliau meringkuk di dalam penjara selama 7 tahun atas tuduhan ingin melancarkan peperangan terhadap British disamping penerbitan risalah Testament Politik API.
Setelah tujuh tahun penahanannya oleh British, AB telah bergiat aktif dalam penulisan novel, sajak dan cerpen sebagai wadah untuk mencurah idea, pendapat dan keluh kesahnya sepanjang berada dalam penahanan tersebut. AB telah dibebaskan pada tahun 1955 dan mula terlibat dengan Parti Rakyat Malaya (PRM). Penubuhan PRM merupakan kesinambungan daripada perjuangan tokoh-tokoh KMM dan juga PKMM yang berhasrat untuk terus berhadapan dengan pihak British yang tebal dengan semangat anti British. PRM mempunyai beberapa dasar yang menjadi prinsip dalam pergerakan mereka. Antaranya ialah menerima kewarganegaraan kepada semua orang yang tinggal tetap dan memberikan sepenuhnya taat setia kepada Negara tetap menentang jus soli, menolak diskriminasi terhadap mana-mana kaum atau kumpulan agama dalam perdagangan, pelajaran dan kebudayaan, mencadangkan mewujudkan satu badan pengantaraan antarabangsa sebagai alat untuk berdamai dengan PKM dan berhubung dengan PKM, AB mendesak untuk menghapuskan Undang-undang Darurat. Namun, dasar-dasar yang terdapat dalam PRM adalah bertentangan dengan dasar yang dipertahankan oleh British dan dasar tersebut telah ditolak oleh British.
Dalam PRM, AB telah dilantik sebagai Ketua yang pertama menerajui PRM. AB telah cuba mencari pengaruh dari luar masyarakat Melayu apabila usaha politik beliau tidak hanya terbatas kepada satu kaum sahaja. Dalam menerajui PRM, beliau banyak dipengaruhi bahan bacaan yang dibaca beliau ketika dalam penjara hinggalah beliau memilih sosialisme sebagai ideologi PRM. Pada tahun 1957, dasar dalam perjuangan PRM menjadi lebih tegas apabila menggunakan dasar yang berteraskan sosionalisme-demokrasi yang menterjemahkan bahawa “ satu dasar kemasyarakatan yang mengakui bangsa-bangsa di dunia yang terpisah tetapi harus hidup dan berkerjasama serta menyusun masyarakat sedunia tadi penjajahan dan penindasan baik dalam lapangan politik, ekonomi dan sosial”. (Ramlah Adam: 1994: 245).
Dalam dasar sosionasinalisme-demokrasi AB menekankan 3 aspek utama iaitu demokrasi politik, demokrasi ekonomi dan demokrasi sosial. Ini menunjukkan AB menekankan keadaan dan layanan yang baik kepada rakyat bawahan dalam politik, sosial dan ekonomi. Dalam perjuangannya, AB mengamalkan dasar Marhaenisme yang membela rakyat yang ditindas dan mundur dalam ekonomi, politik dan sosial seperti buruh, nelayan, petani dan peniaga kecil. Dalam dasar marhaenisme dan sosionasinalisme-demokrasi yang diperkenalkan oleh AB terbahagi kepada enam perkara antaranya ialah menentang diktatorian terhadap rakyat, menolak perkauman, kekerasan ketenteraan dan menentang sebarang bentuk penjajahan yang disebabkan oleh kapitalisme. AB telah menjelaskan bahawa Marhaenisme ini berlainan dengan ideologi komunis dengan menyatakan bahawa: “komunisme meletakkan cara bertindak itu kepada pemberontakan sahaja atau menggunakan kekerasan senjata, manakala marheanisme pula bertindak secara evolusi-berjuang melalui pemiliyan umum untuk mendapat tampuk pemerintahan. Demokrasi marheanisme bergantung kepada keputusan akhir rakyat .( Ramlah Adam: 1994: 249).
Namun begitu ada pendapat yang mengatakan PRM kurang mendapat sambutan daripada orang ramai kerana mereka lebih terpengaruh dengan UMNO dan PAS namun dibidas oleh AB dengan hujah bahawa terdapat lima cawangan PRM yang ditubuhkan di Terengganu, Singapura dan sebagainya. Dasar keterbukaan yang diamalkan oleh PRM telah diterima baik oleh Parti Buruh Malaya (PBM) kerana dasar sosial yang diperkenalkan oleh AB. Pada tahun 1956, PRM telah bergabung dengan Parti Buruh Malaya dan gabungan ini dinamakan Malayan Socialist Front atau juga dikenali sebagai Socialist Front (SF). Kedua-duanya bertujuan mencari kekuatan atas dasar sosialisme yang menjadi ideology masing-masing. Gabungan tersbut diharap akan dapat menajdi barisan pembangkang yang dapat mengatasi kekuatan UMNO yang mewakili kaum Melayu dan bukan Melayu. AB telah memilih untuk bekerjasama dengan PBM kerana PBM punya pengaruh yang kuat dalam kalangan orang bukan melayu dan mempunyai ideologi sosial yang tegas. Walaupun mempunyai ideologi yang sama, namun mereka mempunyai pendirian yang berbeza terhadap hak istimewa raja Melayu dan orang Melayu kerana PRM menyokong manakala PBM pula menolak. Malahan mereka juga berbeza dari segi penekanan sosialisme kerana PRM menekankan kepada petani manakala bagi PBM menekankan kepada buruh.
Namun begitu, bagi AB perbezaan tersebut bukan menjadi halangan kepada agenda politiknya kerana beliau yakin melalui gabungan tersebut menghadilkan kerjasama utuh untuk menumpaskan Perikatan dalam pilihanraya 1959. Pada tahun 1959, AB telah dilantik menjadi Presiden SF dan ini membuktikan peningkatan penglibatan politik beliau kerana telah mendapat kepercayaan daripada orang bukan Melayu dan dikenali sebagai pemimpin “ MALAYAN”. Pada tahun 1959, AB telah bertanding dalam pilihanraya dengan menggunakan Social Front. Dalam berkempen untuk pilihanraya tersebut, AB telah menggariskan perjuangan SF dalam soal kebebasan iaitu kebebasan bersuara, kebebasan bergaul, kebebasan menganut agama, kebebasam bergaul dan kebebasan rasa takut. Namun dalam pilihanraya tersebut PRM hanya memenangi satu kerusi dan PBM pula memenangi 16 kerusi. Kekalahan tersebut antaranya disebabkan oleh ideologi sosialisme kerana orang melayu kurang memahaminya dan mereka lebih mempercayai UMNO kerana kempen UMNO banyak menggunankan sentimen menentang komunisme. Malahan pendirian pemimpin PBM dan PRM juga tidak mempunyai penegasan yang sama. (Ramlah Adam:1994:296). AB telah memenangi kerusi parlimen Setapak yang bertanding dengan Aishah Ghani.
Sebagai anggota Parlimen , AB bukanlah hanya pembangkang yang memanaskan kerusi sahaja malahan sebagai pembangkang yang cergas dan pelbagai idea tentang politik, ekonomi dan sosial. Beliau menegur Parti Perikatan dengan cara yang sangta terbuka dan berterus terang dan turut menjadi penyokong apabila ahli pembangkang yang lain membangkitkan isu. Antara isu yang dibangkitkan oleh AB antaranya ialah pengenalan Internal Security Bill yang memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan sesiapa yang dianggap mengancam keselamatan negara tanpa sebarang perbicaraan. Malahan beliau pernah membahaskan mengenai rang undang-undang Pembentukan Malaysia pada Oktober 1961. Dalam cadangan tersebut, Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan supaya pembentukan Malaysia dengan mencantumkan negeri-negeri jajahan British seperti Singapura, Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan kemerdekaan. Namun, bagi AB konsep pembentukan Malaysia adalah bercanggah dengan konsep Melayu Raya yang diperjuangkannya. Menurut prinsip yang dipertahankan oleh AB, negara yang ingin dibentuk bukan sahaja mengandungi negeri-negeri tersebut namun termasuk juga Indonesia . Cadangan AB adalah selari dengan pendapat Azahari yang menginginkan sebuah konfederasi yang dinamakan Kesatuan Kalimantan Utara terdiri daripada Sabah, Sarawak dan Brunei . AB juga telah berhasil mempengarhi penubuhan Parti Rakyat Singapura yang dikuasai oleh golongan radikal Melayu. Bantahan AB terhadap pembentukan Malaysia juga telah mendapat kerjasama daripada PAS pimpinan oleh Dr Burhanuddin yang menginginkan Indonesia dan Filipina dimasukkan bersama. Akibat daripada penentangan AB terhadap pembentukan Malaysia, beliau telah ditahan untuk kali ketiga dalam siri poltik beliau. Beliau telah ditangkap oleh kerajaan Perikatan kerana terlibat dalam usaha Indonesia menentang gagasan Malaysia yang diusulkan oleh Tunku Abdul Rahman. Penahanan AB kali ketiga melibatkan tempoh empat tahun dan telah dibebaskan pada tahun 1967. Selepas dibebaskan terdapat usaha untuk memberhentikan gerakan politik beliau. Sisa-sisa hidupnya diteruskan sebagai penulis bebas dan telah menghembus nafas terakhir pada tahun 1983 akibat sakit barah paru-paru. (Ramlah Adam:2003:436). Maka dengan itu, tamatlah seorang tokoh politik negara yang sangat dinamik dan menarik yang telah memberi warna-warni corak dalam politik negara.
Berdasarkan rentetan dan beberapa peristiwa tersebut maka secara nyatanya Ahmad Boestamam merupakan seorang pemimpin yang berhaluan kiri seperti pendapat Ishak Saat dalam bukunya “ Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran” yang ada menyatakan bahawa menurut pandangan British mereka yang tergolong dalam golongan radikal dalam menutut kemerdekaan adalah penentang British dan tidak mengikut undang-undang yang dilaksanakan oleh penjajah Tanah Melayu. Mereka juga telah menyenaraihitamkan bebereapa tokoh yang dikatakan berhaluan kiri antara Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Hj Muhammad dan Ahmad Boestamam. (Ishak Saat:2007:141). Maka terbuktilah bahawa Ahmad Boestamam merupakan seorang pemimpin gerakan berhaluan kiri. Dimana beliau dengan beraninya telah menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf (API) bagi memperjuangkan keadilan anak bangsanya secara radikal. AB terlalu terpenagruh dengan bahan bacaan yang diperolehi beliau daripada negara luar seperti Indonesia . Pendedahan yang luas dalam konteks pembacaan menjadikan beliau sebagai seorang yang berani menyuarakan pendapat. Walaupun AB dikatakan sebagai pemimpin berhaluan kiri, namun beliau tetap berperanan dalam mewarnai dunia politik tempatan semasa hayatnya. Semangat dan sentimen anti penjajah tetap bersemarak dalam diri walaupun perjuangannya telah mendapat pelbagai rintangan yang memerlukan seribu pengorbanan dan pengertian. Namun begitu, masyarakat cenderung memilih gerakan berhaluan kanan dan mengenepikan golongan kiri. Hal ini masih dapat dilihat kini dimana dalam silibus pendidikan Sejarah di sekolah, gerakan yang berhaluan kiri jarang dibahaskan dan hanya gerakan haluan kanan sahaja yang sering diperkatakan kepada pelajar. Pada pendapat saya, semua gerakan seharusnya dimasukkan dalam silibus pembelajaran subjek Sejarah Malaysia untuk memperingati jasa mereka yang sanggup berjuang bagi mencapai kemerdekaan. Hal ini kerana mereka semua berjuang untuk matlamat yang sama, cuma cara gerakan-gerakan tersebut sahaja yang berbeza. Penglibatan gerakan berhaluan kiri tetap berperanan dalam menaikkan semangat anak bangsa agar mempunyai kesedaran untuk membebaskan diri daripada penjajah. Pencapaian kemerdekaan merupakan sesuatu yang tidak ternilai dimana segala jasa-jasa tidak terhingga pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan maruah anak bangsa demi negara yang tercinta.
Sumber Buku
Ishak Saat. 2007. Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran. Shah Alam : Karisma Publications Sdn.Bhd.
Ramlah Adam. 1994. Ahmad Boestamam : Satu Biografi Politik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ramlah Adam, 2003, Pejuang-pejuang Kemerdekaan. Melaka : Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia.
Ramlah Adam. 2004. Gerakan Radikalism Di Malaysia (1938-1965). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.